VIDEO MENARIK



ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA KEPADA SEMUA PENGUNJUNG SEKALIAN, PIHAK ADMIN SEDANG MENJALANKAN KERJA-KERJA MENGEMASKINI BLOG. HARAP MAAF ATAS SEBARANG KESULITAN. TERIMA KASIH.


ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA KEPADA SEMUA PENGUNJUNG SEKALIAN, PIHAK ADMIN SEDANG MENJALANKAN KERJA-KERJA MENGEMASKINI BLOG. HARAP MAAF ATAS SEBARANG KESULITAN. TERIMA KASIH.

CINTA ITU FITRAH, COUPLE ITU PARAH


 
Argh. Pening. Sangat pening rasanya. Saban hari, semakin banyak drama-drama yang menjual kisah-kisah cinta murahan di televisyen. Bukan sahaja drama, kartun tatapan kanak-kanak kecil juga dimuatkan dengan elemen cinta antara lelaki dan perempuan. Begitu juga dengan novel-novel dan cerpen-cerpen yang memarakkan lagi rasa ingin berpasang-pasangan dengan memperindahkan kisah-kisah cinta antara sang pemuda dengan sang pemudi. Lebih teruk, bila elemen yang diutarakan berkaitan “couple islamik”. Aduh, ini semua ... terlalu memeningkan kepala.


Maka tidak hairanlah jika anak-anak muda kita yang baru setahun jagung sudah mula ber”couple”, bermain mesej dengan bukan mahram, dan berangan-angan hidup bahagia selama-lamanya dengan artis-artis yang langsung tidak mengenali mereka. Saya sendiri pernah terjumpa seorang bapa yang membawa anak kecil di klinik, saya kira, berumur kurang lima tahun. Kemudian, ada seorang ibu membawa anak kecilnya pula, tetapi perempuan. Dalam usaha si bapa untuk mendiamkan anaknya, bapanya berkata “Tu, tengok tu. Awek, awek”. Budak itu pun pergi sambil tersengih-sengih, “Nama awak cape?”. Aduh ... kasihan sungguh saya melihatkan budak kecil itu, diberikan didikan yang sebegitu rupa pada usia yang sebegitu muda.
Jujur, sebagai seorang remaja, saya juga mengakui pernah terlibat dengan cinta murah ini. Namun, mujur ditunjuk jalan oleh-Nya agar kembali bertaubat. Mujur juga tidak diberikan ujian berupa paras muka yang menggugah iman. Ahahah.

Tapi, masih ada yang cuba menjustifikasikan perbuatan mereka dengan cuba menghalalkan perhubungan antara lelaki dan perempuan yang tidak ada tujuan. Antara hujah-hujah yang sering kita dengar : 

“Perasaan cinta itu fitrah. Takkan Islam menghalang fitrah”
 
Memang lah, cinta itu fitrah. Islam itu tidak menghalang fitrah, malah menunjukkan jalan untuk memenuhi tuntutan fitrah itu. Maka, Islam mengajarkan kepada kita :

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang dari kalangan kamu, dan orang-orang soleh dari hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui”   an-Nur, 24:32

Nampak, Allah dah sediakan jalan; kahwin. Maka mengapa pula mencari jalan lain selain daripada Allah dah tunjukkan? Dah diberi betis, nak peha? Amboi!

Barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.” Al-Mukminuun, 23 : 7

Apa pula hikmahnya Allah melarang cinta antara lelaki dan perempuan di luar pernikahan? Banyak, antaranya, menjauhkan daripada perasaan kacau bilau dalam diri. Ingatlah, Allah sayangkan hamba-hambanya. Allah tidak mahu kita ditipu oleh “wanita-wanita pisau cukur” , mahupun “lelaki yang bermata senyap”. Perasaan cinta ini, jika tidak dijalankan dengan satu komitmen yang benar, macam-macam boleh berlaku. Kerana, “cinta itu buta”. Kita pun selalu dengar kisah-kisah mereka yang ditipu kekasih, ditinggalkan kekasih semata-mata kerana perempuan atau lelaki lain. Kemudian? Muncul kekacauan emosi hingga ada yang tidak boleh belajar, malah bunuh diri.

Pernah, saya dengar sendiri daripada senior saya, kawan-kawannya berbual-bual selepas bermain bola keranjang. Entah bagaimana, topik perbincangan menjadi,  “Kau nak pergi dating esok? Alah, risau apa. Kalau kau nak tau, tempat sekian sekian ni memang takde orang yang lalu. Kalau kau nak buat ape pun, takkan ada orang perasan. Kalaulah tiba-tiba dia mengandung, kau ugut je dia dengan cara sekian sekian”.

Pergh. Setelah mendengar perbualan itu, barulah saya faham mengapa seorang sheikh pernah berpesan kepada para wanita, “Andai kalian mendengar apa yang lelaki-lelaki itu bincangkan sesama mereka, pasti kamu berasa seram dan takut”. Mungkin ada yang merasakan diri mereka terlalu bijak untuk tertipu, tetapi ingatlah bahawa kes-kes penipuan ini bukan satu-satunya hikmah Allah melarang hubungan di luar pernikahan. Pastinya ada banyak lagi hikmahnya. Apa, kamu ingin mendakwa diri lebih bijak daripada Allah?

Katakanlah: "Apakah kamu akan memberitahukan kepada Allah tentang agamamu, padahal Allah mengetahui apa yang di langit dan apa yang di bumi, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu?"” al-Hujurat, 49 : 16

“Tapi, cerita bertabur-tabur pasal kawin pun tak guna bang. Kami ni mana mampu kahwin lagi”
Nah, sekali lagi, Islam ada solusinya; pertunangan. Pernah seorang senior mengadu memendam rasa terhadap seorang wanita yang baik akhlaknya, malah seorang ustazah. Namun, mereka masih lagi merupakan mahasiswa dan mahasiswi, yang barangkali, belum mampu untuk bernikah. Maka, dia bertanya pada saya, bolehkah mereka bercouple?

Saya jawab padanya, “Kenapa nak kapel pulak? Tunang kan ada? Bertunang boleh kan?”
Nah, jika sudah memendam rasa pun, sudah ada caranya yang Islam tunjukkan; pertunangan. Selain itu, jika belum ada calon yang tertentu pula, nabi ada tunjukkan caranya dalam hadith baginda riwayat Bukhari dan Muslim : 

“Wahai orang muda, jika kamu mampu berkahwin maka hendaklah berkahwin kerana ia dapat menutup pandangan mata dan menjaga kehormatan dan sekiranya tidak mampu , hendaklah berpuasa, kerana ia merupakan perisai”

Maka bersabarlah. Ingat bahawa kebahagiaan dalam pernikahan itu datang daripada Allah, dan bagaimana ingin meminta daripada Allah jika pernikahan itu sendiri dimulakan dengan maksiat seperti couple dan sebagainya? Rasa cinta antara suami isteri itu kurniaan Allah, maka tidak hairanlah jika sepasang suami isteri yang berkahwin tanpa mengenali satu sama lain, boleh hidup bahagia tahap guling-guling tepi bukit penuh bunga-bunga.

Akhir kata ...
“Eh, cop! Dah kalau tak kapel, macam mana kita nak pilih pasangan kita tu baik atau tidak?”
Err ... sudah terlalu panjang artikel ini sebenarnya. Tidak mengapa, saya cuba jawabkan juga. Kita boleh meminta pendapat daripada kawan-kawan rapatnya ataupun ahli keluarganya mengenai perangainya. Selain itu, boleh diaturkan pertemuan yang dihadiri oleh ibu bapa untuk kedua-dua pihak mengenali sesama sendiri serba sedikit sebelum membuat keputusan. Tapi, paling penting, untuk mendapatkan pasangan yang baik, perlulah mendidik diri sendiri terlebih dahulu kerana firman Allah SWT :

dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik”  an-Nur, 24 : 26

Jika di akhirnya, andai jodoh tersebut tidak sebaik yang diharapkan, mungkin sekali kerana diri kita sendiri yang masih belum cukup baik. Andainya sebegitu, maka sama-samalah berusaha untuk perbaiki diri mengejar redha-Nya. Bukankah antara tujuan perkahwinan itu adalah untuk sama-sama memimpin tangan menuju cinta-Nya? <3

Hairan pula. Tiba-tiba, artikel ini menjadi artikel berkenaan baitul muslim. -__-‘’
Akhir kata, bersabarlah, dan berkorbanlah demi cinta Allah, demi cinta yang sejati, yang berkekalan hingga ke syurga. Ingat pesan baginda SAW

“Sesungguhnya tidak engkau meninggalkan sesuatu kerana takutkan Allah, melainkan Allah akan memberikan sesuatu yang lebih baik daripada itu”  - Hadith riwayat Ahmad

Reaksi: